Pantang Selepas Bersalin

“Kenapa lepas bersalin perlu berpantang? Adat orang Melayu eh?”
-“Kenapa? Kau tak nak berpantang ke lepas bersalin?”
“Tanya je lah. Orang putih takda pun berpantang. Macam elok ja mereka tu.”
Berpantang atau tidak? Zaman moden ini, persoalan sebegini boleh muncul ya. Asasnya, tidak adil untuk memberikan penilaian yang sama terhadap keseluruhan masyarakat. Awak kena pantang. Awak pula tak payah pantang. Hmmm
Apa kata cuba fahami terlebih dahulu fisiologi ibu-ibu ketika mengandung dan selepas mengandung? Kemudian, barulah membuat pilihan sama ada mahu berpantang ataupun tidak.
Post kali ini fokus kepada histamin dan enzim yang meneutralkan histamin iaitu diamine oxidase (DAO).
Apa itu histamin?
Histamin adalah sejenis agen saraf yang dirembeskan sel darah putih atau diuraikan daripada protein jenis histidine. Semasa mengandung, kandungan histamin ini meningkat kerana memiliki fungsi tertentu untuk kelancaran fasa mengandung. Hormon progesterone yang tinggi turut meningkatkan kandungan histamin melalui tindak balas yang berlaku. Justeru, peningkatan kuantiti histamin perlu diseimbangkan oleh sejenis enzim iaitu enzim Diamine Oxidase (DAO)
Apa itu DAO?
Diamine Oxidase (DAO) adalah sejenis enzim di dalam badan manusia yang berfungsi meneutralkan histamin. Kadar histamin perlu dikawal kerana boleh mengakibatkan risiko seperti kelahiran bayi pramatang dan kelahiran molar. Semasa mengandung, seorang ibu mendapat kandungan DAO yang tinggi (berbanding semasa tidak mengandung) melalui plasenta (uri) anak. Lagi besar saiz uri, lagi tinggi kandungan DAO yang dibekalkan.
Apa yang berlaku selepas bersalin?
Selepas bersalin, uri akan dikeluarkan daripada rahim ibu dan ini menyebabkan sumber enzim DAO berkurangan. Ketika ini, ibu bergantung enzim DAO pada organ yang lain seperti usus. Dalam keadaan usus yang tidak sihat, si ibu berisiko mengalami histamine intolerance akibat kekurangan enzim DAO dalam meneutralkan histamin.
Sumber makanan selepas bersalin
Dalam keadaan badan yang tidak lagi mendapat sumber enzim DAO daripada plasenta (uri), si ibu berisiko mendapat histamine intolerance jika mengambil makanan yang mengandungi kandungan histamin yang tinggi. Histamin kebanyakannya diperoleh daripada makanan bersumber protein yang tinggi kandungan amino asid jenis histidine. Kandungan histamin juga tinggi pada makanan-makanan yang diperam, dijeruk dan lama.
Petua orang dulu-dulu yang mengajar untuk berpantang makan bagi mengelakkan “angin ”atau sakit sendi berkemungkinan ada kaitan dengan keseimbangan histamin dan enzim DAO dalam badan ibu. Histamin yang berlebihan dalam badan akan mengakibatkan beberapa hal contohnya perembesan jus perut yang berlebihan, sakit kepala dan lain-lain.
Justeru, mahu berpantang atau tidak? Tiada salah untuk berpantang. Bahkan setiap makanan yang dielakkan boleh digantikan dengan sumber makanan lain bagi memastikan kandungan nutrisi tetap terjaga di samping memelihara kesihatan badan.

Author: Dr Hafiz Sulaiman
Ikuti Saya di Facebook
